"OM AWIGNAMASTU NAMA SIDDHEM OM SWASTIASTU" SEMOGA SEMUA DALAM PERLINDUNGAN TUHAN, SELAMAT MEMBACA DAN SEMOGHA BERMANFAAT.jangan lupa kunjungi videobsaya di link https://youtu.be/-UJdPDAjETM

7/30/2011

MAKALAH TENTANG SAPAAN PRIA DAN WANITA

Abstrak
Tujuan makalah ini adalah untuk memeri strategi sapaan oleh golongan pelajar di sebuah
institusi pengajian tinggi di Malaysia, khususnya terhadap perbezaan penggunaan strategi
oleh pelajar lelaki dan perempuan. Kajian ini bergerak dari pemerhatian rawak penyelidik
tentang perlakuan sapaan oleh golongan ini yang menimbulkan persoalan terhadap
kecekapan berkomunikasi mereka. Ia melihat pola sapaan berdasarkan konteks, tahap
formaliti, dan hubungan antara peserta tutur. Makalah ini membincangkan hasil dapatan
berdasarkan perbezaan jantina dan menghubungkaitkan faktor jantina ini dengan aspek
budaya dan sosiopragmatik berpandukan prinsip sosiopragmatik Leech (1993) dan
perbezaan fitur interaksi untuk lelaki dan perempuan oleh Sherzer (1987). Data bagi
kajian ini diperolehi melalui 3 cara iaitu melalui Tugas Penyempurnaan Wacana (TPW),
temu bual, dan juga catatan pemerhatian. Responden bagi TPW adalah seramai 264 orang
yang menjawab 15 situasi yang memerlukan sapaan di sekitar kampus; memberikan 3960
respons kesemuanya. Responden bagi temu bual adalah seramai 30 orang dari kumpulan
yang sama. Pemerhatian etnografi dilakukan selama 3 bulan. Hasil dapatan menunjukkan
bahawa jika jarak sosial pelajar adalah dekat, mereka cenderung untuk menggunakan
strategi sapaan yang agak kasar. Bagi pelajar yang mempunyai hubungan yang agak
rapat, pelajar perempuan lebih selesa menggunakan nama untuk menyapa manakala
lelaki pada kebiasaanya hanya sekadar mengangguk kepala atau menyebut “hai”.
Perbincangan diakhiri dengan memberikan implikasi dapatan dan juga cadangan
beberapa konteks untuk kajian lanjut dalam sapaan.
Katakunci: sapaan, status sosial, jarak sosial, sosiopragmatik, Tugas Penyempurnaan
Wacana (TPW).

Greeting Patterns Of Male And Female Students At A Higher
Institution Of Learning: A Sociopragmatic Study
The objective of this paper is to present greeting patterns among undergraduate students
at a public higher learning institution in Malaysia. The study emerged from the
researchers’ random observations on inappropriateness of greetings behavior among the
students which brought about the questions of the extent of their sociopragmatic
competence. It specifically looks at the greeting patterns based on contexts, formality
level and the relationships between the interlocutors. The paper will focus on presenting
findings based on sex differences, and relating the gender factor to cultural and
sociopragmatic aspects, based on Leech’s (1993) sociopragmatics principles and
Sherzer’s (1987) features of male-female differences in interactions. Data from this study
was collected via Discourse Completion Tasks, semi-structured interviews, and
ethnographic observations. The DCT consists of 15 elicited settings, distributed to 264
respondents, giving a total of 3960 greeting outcomes. 30 respondents from the group of
264 contributed to the interview data. The ethnographic observations took 3 months of
field work. Overall, the findings showed that interlocutors with close social distance
preferred nonconventional greetings. Female students with close social relations would
greet with the hearer with his/her first name, while male students would nod or said “hi”.
The presentations of the findings and discussions end with providing implications and
suggestions for future research in this area.
Keywords: greetings, social status, social distance, sociopragmatics, Discourse
Completion Tasks.
Pendahuluan
Kata sapaan merupakan satu aspek yang penting dalam memulakan sesuatu pertuturan
atau perbualan. Mengikut Abdul Sukor Shari, Nuraini Yusoff dan Mohd Isa Awang
(2003), bahasa sapaan merujuk kepada bahasa yang digunakan ketika menegur sapa
ataupun cara-cara untuk memilih bentuk panggilan dan ganti nama bagi diri sendiri dan
orang yang dilawan cakap. Lakuan sapaan perlu mengikut syarat-syarat dan juga normanorma
yang betul berdasarkan beberapa faktor antaranya adalah status sosial, jarak sosial,
konteks ujaran, dan jantina penutur. Jika faktor-faktor ini tidak diambil berat, maka ia
akan mengganggu interaksi seterusnya. Hal ini jelas terbukti dalam kajian-kajian lepas
yang dilakukan dalam aspek lakuan sapaan antaranya seperti Hafreeza Burhanudeen
(1998), Kasih (2002, 2004), Waldvogel (2007), dan Ibrahim AG Youssouf et al. (1976).
Para pengkaji ini menyentuh aspek status sosial, jarak sosial dan juga jantina sebagai
faktor-faktor yang memberi pengaruh terhadap lakuan sapaan.
Kajian untuk makalah ini merupakan satu kajian bersifat sosiopragmatik. Kajian
sosiopragmatik mengikut Leech (1993, hlm. 12-13), bersifat ‘setempat’ dan khusus.
Prinsip ini bertepatan dengan kajian untuk makalah ini yang fokus kajian adalah terhadap
pelajar lelaki dan perempuan di sebuah universiti tempatan. Menurut Leech lagi, dalam
sosiopragmatik, prinsip kerjasama dan prinsip kesantunan bertindak secara berlainan di

dalam budaya, bahasa, kelas sosial dan situasi sosial yang berlainan. Dengan kata lain,
sosiopragmatik adalah perantara antara sosiologi dan pragmatik dan ia merupakan kajian
terperinci yang mempunyai sifat budaya tertentu.
Selain menggunakan prinsip sosiopragmatik sebagai pegangan utama kajian ini, pengkaji
juga turut memasukkan prinsip pertuturan lelaki dan perempuan. Ini adalah bertepatan
dengan objektif utama kajian iaitu untuk melihat strategi sapaan oleh pelajar lelaki dan
pelajar perempuan dalam ranah rasmi di sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Sherzer (1987, hlm. 96-100) telah memperkenalkan tujuh jenis atau bentuk perbezaan di
dalam pertuturan lelaki dan perempuan. Ketujuh-tujuh bentuk perbezaan tersebut
mengikut beliau, boleh bertindanan (dua atau lebih bentuk perbezaan tersebut boleh hadir
serentak di dalam suatu pertuturan lelaki atau perempuan).
1) Bentuk pertama adalah perbezaan dari segi nahu (kebiasaannya adalah fonologi
dan/atau morfologi). Mengikut beliau, bentuk ini bukan sahaja boleh dilihat dalam
pertuturan sebenar tetapi juga pertuturan berbentuk laporan (reported speech). Ianya
melibatkan pola nahu dan hubungannya dengan peranan gender secara rambang dan
konvensional.
2) Bentuk kedua pula adalah perbezaan bahasa. Ini menurut Sherzer (ibid),
berlaku dalam situasi multilingual apabila lelaki dan perempuan sama ada memiliki
repertoir yang berbeza atau mempunyai repertoir yang sama tetapi dengan cara yang
berbeza.
3) Bentuk seterusnya adalah perbezaan gaya atau stail. Gaya atau stail ini dilihat
dari segi komponen linguistik iaitu fonologi, morfologi, sintaksis, dan juga leksikal.
Komponen linguistik ini mengikut Sherzer (ibid), boleh dikaitkan dengan perbezaan
lelaki dan perempuan.
4) Bentuk keempat pula adalah perbezaan pemboleh ubah atau frekuensi dalam
set kommponen linguistik yang kecil. Mengikut beliau lagi, dalam mana-mana
masyarakat, sesetengah komponen fonologi, morfologi, dan sintaksis mempunyai
perbezaan yang signifikan dengan komponen sosial sperti kelas, etnik, pendidikan, tahap
formaliti dan juga gender. Ini menunjukkan bahawa gender tidak boleh dipisahkan
sebagai dimensi yang berdiri sendiri sepenuhnya.
5) Bentuk yang kelima melibatkan perbezaan di dalam aspek interaksi dan
organisasi pertuturan yang dilihat secara kualitatif atau kuantitatif. Ini termasuklah
komponen-komponen analisis pertuturan yang diperkenalkan oleh Sacks dan Schegloff
seperti giliran dalam bertutur, pertindihan, dan juga menyampuk.
6) Bentuk keenam pula adalah perbezaan dari segi genre verbal dan peranan
pertuturan. Genre verbal merupakan sesuatu yang mempunyai unsur budaya, rutin, dan
kadang-kala jelas dan formal bagi sesuatu komuniti atau masyarakat. Sesetengah genre
verbal mempunyai kaitan dengan peranan sosial di mana ia (genre verbal) lambang
kepada peranan sosial tersebut.
7) Bentuk yang terakhir yang dikemukan oleh Sherzer adalah perbezaan pola
pertuturan yang berhubungkait dengan situasi tutur dan genre verbal. Ia juga melihat
sama ada masyarakat secara amnya menjadi penentu kepada prinsip-prinsip penggunaan
bahasa. Bentuk ini perlu dilihat dari segi sosiobudaya yang lebih besar.

Ketiga-tiga konsep dan prinsip yang dinyatakan di atas (sapaan, sosiopragmatik dan teori
pertuturan lelaki dan perempuan) adalah merupakan kerangka teoritis kepada kajian yang
dijalankan ini.
Objektif Dan Permasalahan Kajian
Kajian ini bertujuan untuk melihat strategi lakuan sapaan dalam kalangan pelajar di
sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia. Terdapat dua objektif yang ingin dicapai
oleh kajian ini: pertama, untuk melihat pengaruh jarak sosial dan juga status sosial di
dalam strategi lakuan sapaan responden lelaki dan perempuan; dan kedua, untuk melihat
perbezaan bentuk dan lakuan sapaan di antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan dalam
konteks persekitaran akademia.
Kajian ini bergerak atas beberapa permasalahan sosiopragmatik daripada pengamatan
pengkaji (oleh kalangan) terhadap penutur di institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Permasalahan pertama yang dapat dilihat adalah tahap kecekapan sosiopragmatik.
Berdasarkan hasil pengamatan dalam persekitaran institusi pengajian tinggi, terdapat
pelajar yang tidak menunjukkan kecekapan dalam berkomunikasi (communicaticve
competence), iaitu para pelajar ini tidak mempamerkan penggunaan/perlakuan kata
sapaan mengikut kesesuaian konteks, situasi dan tahap formaliti. Sebagai contoh, pelajar
kebiasaannya menggunakan sapaan “abang” atau “akak” terhadap pegawai ketika berada
di pejabat, kaunter bendahari, perpustakaan dan sebagainya yang dianggap sebagai
tempat formal. Mengikut Abdul Sukor Shari, Nuraini Yusoff dan Mohd Isa Awang
(2003), penggunaan bahasa sapaan yang betul dan sesuai dapat menggambarkan budi
pekerti yang tinggi, sementara penggunaan bahasa sapaan yang tak sesuai akan
menampakkan nilai yang negatif. Kata sapaan juga boleh dikategorikan sebagai kurang
sopan atau biadap apabila kata sapaan (ia) disalah guna dari segi budaya dan bahasa (Nor
Hashimah Jalaluddin et al., 2005). Ini membuktikan bahawa kecekapan berkomunikasi
adalah sangat penting dalam lakuan sapaan.
Sebagaimana yang telah diterangkan pada pendahuluan kajian ini, penulis akan
menumpukan kajian ini pada beberapa aspek yang mempengaruhi bentuk sapaan. Kajian
ini dilihat dari aspek Sosiopragmatik iaitu pengaruh jarak sosial, status sosial dan juga
pengaruh jantina dalam bentuk sapaan. Dalam kajian-kajian lepas yang dilakukan oleh
ahli-ahli sosiopragmatik, aspek-aspek tersebut juga turut dimasukkan sebagai faktorfaktor
yang mempengaruhi bentuk sapaan.
i) Status sosial dan jarak sosial
Satu kajian yang dilakukan oleh Hafriza Burhanudeen (1998) membincangkan kata
sapaan dalam kalangan kerabat diraja. Hasil perbincangan kajian yang dilakukan beliau
di bahagikan kepada 3 bahagian – sapaan terhadap Raja, Pemerintah, dan Putera
Mahkota; sapaan terhadap Kerabat; dan menyapa ahli keluarga. Ketika menyapa Raja,
Pemerintah, dan Putera Mahkota, ia dimulakan dengan sembahan tanda hormat. Ia
kemudian diikuti dengan mencium tangan pendengar (hanya jika tersebut
membenarkannya). Proses sapaan dianggap selesai setakat itu kecuali pendengar tersebut
ingin beramah mesra (kebiasaannya dilakukan dengan bertanya tentang keadaan

kesihatan subjek). Penggunaan bahasa pula ditentukan oleh pendengar, sama ada ingin
menggunakan bahasa istana atau bahasa Inggeris. Jika penutur memilih untuk
menggunakan bahasa Inggeris, maka perbualan adalah dalam bahasa tersebut, dan begitu
juga sebaliknya.
Seterusnya, sapaan terhadap kerabat biasa dilakukan dengan berjabat tangan (sama
seperti bentuk sapaan di barat dan juga orang Melayu), kemudian diikuti dengan
menekapkan tapak tangan ke dada. Kedua-dua bentuk sapaan tersebut digunakan
terhadap peserta tutur yang mempunyai hubungan rapat dengan penutur. Proses beramah
mesra melibatkan soalan “apa khabar?” dan “macam mana kerja?”. Secara linguistiknya,
penggunaan bahasa istana adalah bergantung kepada latar belakang pendidikan dan juga
sejauh mana rapatnya penutur dengan pendengar. Mereka yang mempunyai latar
belakang pendidikan bahasa Inggeris dan mempunyai hubungan yang rapat lebih
menggunakan bahasa Inggeris untuk sapaan.
Bahagian akhir perbincangan beliau adalah berkenaan sapaan dalam keluarga. Keluarga
di sini bermaksud adik-beradik dan anak-nak saudara. Dalam situasi ini, kedua bentuk
sapaan, iaitu bentuk sapaan Melayu dan barat digunakan. Pada kebiasaannya, bentuk
sapaan Melayu digunakan di antara anggota keluarga yang berumur dengan yang yang
muda. Dari segi bahasa pula, kedua-dua bahasa istana dan bahasa Inggeris diterima pakai.
Malah, alih kod antara bahasa istana dan bahasa Inggeris juga berlaku dalam interaksi
tidak formal.
Satu kajian lain yang turut menyentuh aspek jarak sosial adalah kajian oleh Kasih (2004).
Kajian beliau yang bertajuk ‘Sistem Sapaan Anak-anak dan Remaja dalam Bahasa
Minangkabau: Suatu Analisis Sosiolinguistik’ itu membicarakan mengenai bentuk sapaan
yang digunakan oleh kanak-kanak dan juga remaja. Kajian beliau menumpu kepada
golongan remaja dalam lingkungan umur 19-21 tahun, oleh itu berkait rapat dengan
kajian yang dibentangkan oleh makalah ini. Menurut Kasih, golongan remaja lebih bebas
dalam melakukan sapaan sesama mereka berbanding dengan golongan dewasa dan
golongan tua yang masing-masing dipengaruhi oleh peserta tutur dan adat serta budaya
Minangkabau. Golongan remaja Minangkabau didapati menggunakan kata sapaan ‘ang’
(lelaki), ‘kau’ (perempuan) dan menyebut ‘nama kecil’.
Selain itu, golongan ini juga menggunakan slanga untuk kata sapaan yang dicipta dan
hanya difahami oleh sesama mereka sendiri. Apabila jarak sosial antara mereka adalah
rapat, iaitu mereka sudah saling mengenali, maka sapaan yang digunakan adalah lebih
bervariasi menurut kata sapaan yang dicipta oleh mereka. Hasil daripada pengamatan
yang dilakukan oleh Kasih, terdapat perubahan pada bentuk kata sapaan golongan remaja
Minangkabau terutamanya golongan perempuan. Suatu yang menarik adalah, remaja
perempuan menggunakan sapaan ‘ang’, yang lazim digunakan sesama penutur lelaki,
untuk menyapa sesama mereka. Mengikut Kasih, ini adalah disebabkan penggunaan kata
sapaan tersebut menunjukkan keakraban sesama mereka, pergaulan remaja tersebut yang
bebas, dan berlaku dalam kalangan remaja dari keluarga kelas sosio-ekonomi rendah.
Bagi remaja lelaki yang saling mengenali atau mempunyai jarak sosial yang dekat, kata
sapaan yang digunakan adalah ‘angku’. ‘Sanak’ (saudara) dan ‘puang’ (kampung) pula

adalah kata sapaan yang digunakan oleh remaja lelaki dan perempuan yang mempunyai
jarak sosial yang dekat. Dapatan Kasih (2004) ini amat berguna untuk menilai kajian
sekarang yang berfokus kepada golongan remaja dalam pelbagai jarak sosial dan status
sosial.
Bentuk sapaan yang dipengaruhi oleh faktor status sosial juga boleh muncul pada
pertuturan di dalam dunia digital. Seperti yang telah dinyatakan oleh pengkaji dalam
permasalahan kajian, globalisasi – yang menjurus kepada komunikasi melalui dunia
internet – mempengaruhi bentuk pertuturan seseorang dalam dunia realiti. Ini
termasuklah bentuk sapaan. Waldvogel (2007) dalam kajiannya ‘Kata sapaan dan
penutup dalam mel-e di tempat kerja’, membuktikan bahawa budaya tempat kerja
merupakan faktor yang lebih penting dalam mengambil kira kekerapan kata sapaan dan
kata penutup berbanding faktor status, jarak sosial dan jantina. Ini adalah begitu
bertentangan dengan pertuturan dalam dunia realiti di mana faktor-faktor tersebut perlu
diambil kira untuk menunjukkan kecekapan seseorang dalam berkomunikasi.
Waldvogel (2007) melakukan kajian terhadap dua organisai, iaitu SCT (organisasi
pendidikan) dan Revelinu (kilang pembuatan). Dalam kedua-dua organisasi tersebut,
pekerja yang berstatus lebih tinggi akan disapa menggunakan nama pertama. Dari segi
jarak sosial pula – sama ada pengguna mel-e tersebut rapat atau sebaliknya – sapaan lebih
banyak muncul di antara pengguna yang mempunyai jarak sosial yang jauh (kenalan
tidak rapat) berbanding dengan kenalan yang rapat atau mempunyai jarak sosial yang
dekat.
ii) Jantina dan lakuan sapaan
Jantina penutur memainkan peranan penting dalam bentuk sapaan. Banyak kajian telah
membuktikan bahawa terdapat perbezaan dalam bentuk sapaan antara jantina. Kajian
Waldvogel (2007) yang melihat data mel-e di tempat kerja menunjukkan bahawa ‘strategi
sapaan yang di gunakan oleh lelaki dan perempuan dalam dua tempat kerja menunjukkan
sedikit perbezaan’ (Waldvogel 2007, hlm. 470). Di SCT (sebuah organisai pendidikan),
perempuan melakukan sapaan dan penutup dalam mel-e lebih banyak berbanding lelaki
(49% daripada 72 mesej). Manakala dua pertiga daripada 72 mesej yang ditulis oleh
lelaki tidak mempunyai apa-apa bentuk penghargaan atau kata sapaan. Di sebuah lagi
organisasi iaitu kilang pembinaan (Revelinu), 34% daripada mesej perempuan bermula
dengan nama pertama penerima berbanding lelaki yang hanya 20%. Kajian yang telah
dilakukan oleh Waldvogel ini menunjukkan bahawa jantina seseorang individu boleh
mempengaruhi bentuk sapaan yang akan muncul. Oleh itu, adalah penting untuk pengkaji
mengambil kira aspek jantina dalam kajian sekarang dan melihat strategi persamaan
dan/atau perbezaan bentuk kata sapaan yang digunakan oleh subjek.
Kaedah Kajian
Penyelidikan sapaan ini menggunakan dua pendekatan, iaitu kualitatif dan kuantitatif.
Penggunaan kedua pendekatan ini bertujuan untuk memperolehi hasil yang berkesan dan
sahih.

Kaedah kualitatif
Kaedah kualitatif dilakukan dengan menggunakan pendekatan etnografi pertuturan1,
seperti yang dihuraikan Saville-Troike (1991). Ia digunakan berdasarkan kepada
pemahaman bahawa bahasa merupakan suatu aspek kebudayaan yang ditentukan secara
sosial. Pilihan kaedah ini seiringan dengan pandangan Gumperz (1972) yang
mengungkapkan bahawa walaupun semua fakta sudah dirakam, namun tanpa
pengetahuan etnografi mengenai norma sosial yang menyertai pemilihan bentuk bahasa
dalam situasi yang dirakam tersebut tentulah dapat menimbulkan hal yang rencam dalam
menilai fungsi sosialnya. Huraian ini didukung oleh pemikiran Maleong (2002, hlm. 13-
14) yang mengungkapkan bahawa pendekatan etnografi mempertimbangkan tingkah laku
manusia dengan jalan menghuraikan apa-apa yang mereka ketahui dan apa-apa yang
membolehkan mereka berperilaku secara baik sesuai dengan common sense (fikiran sihat)
dalam masyarakatnya.
Penyelidikan ini dilakukan dengan melakukan pengamatan terhadap perilaku verbal dan
bukan verbal pelajar lelaki dan perempuan bagi etnik utama di Malaysia – Melayu, Cina,
dan India – di sebuah universiti tempatan. Lokasi pengamatan adalah di kawasan
kampus, khasnya di ruang legar fakulti, pusat kemudahan pelajar, kolej, perpustakaan,
dan di pejabat. Latar ini dipilih untuk mendapatkan strategi lakuan sapaan, kemampuan
dan nilai-nilai sosial budaya yang dimiliki pelajar lelaki dan perempuan dalam ranah atau
persekitaran rasmi.
Selanjutnya menurut Geertz (1983, hlm. 298) pada asasnya, penyelidikan kualitatif
berupaya menemukan makna kepada pencarian pengetahuan budaya dalam fungsinya
sebagai penggerak kepada individu dalam kehidupan sosial mereka. Makna merupakan
suatu hal yang paling penting dalam kerja kualitatif kerana mencerminkan apa-apa yang
dialami, bagaimana menafsirkan perilakunya, dan bagaimana menstruktur dunia sosial
(Bogdan & Biklen 1982, hlm. 34). Sehubungan dengan itu, Hymes (1972) pula
mencadangkan tiga unit yang harus dihuraikan dan dianalisis jika hendak mengkaji
tuturan, iaitu: situasi, peristiwa, dan perilaku.2 Parameter persampelan dalam
penyelidikan ini dilakukan dengan mempertimbangkan kebervariasian pelaku, peristiwa
dan perilaku tutur yang ada di lapangan (Miles & Huberman 1992, hlm. 49).
Data lapangan dikumpulkan dengan teknik pemerhatian, rakaman audio dan catatan
etnografi. Pemerhatian dilakukan terhadap tingkah laku dan ujaran sapaan dalam
interaksi singkat. Jenis data yang diperlukan dalam kaedah ini ialah data maklumat latar
(peserta tutur/interlocutors, kawasan, dan situasi pertuturan), kod linguistik, dan data
organisasi sosial. Maklumat latar merupakan maklumat dan fakta yang berhubung kait
dengan situasi ketika peristiwa bahasa dan pengaruhnya terhadap perilaku tutur. Kod
linguistik adalah tuturan yang digunakan oleh responden ketika bertutur. Manakala
1 Etnografi sebagai salah satu pendekatan kualitatif berupaya untuk penghuraian dan pemahaman perkara
yang berkaitan dengan perlakuan komunikasi dan aspek-aspek kebudayaan (Moleong 2002, hlm. 13) dan
Gumperz (1972, hlm. 9)
2 Situasi ialah konteks di mana perilaku tutur berlaku; peristiwa adalah unit asas dalam melakukan deskripsi
yang merupakan satu set komponen yang seragam (tujuan tutur, topik, partisipan, ragam tutur, peraturan
bertutur); perilaku mengacu kepada fungsi tuturan dalam suatu interaksi.

organisasi sosial pula mengacu kepada siapa berinteraksi dan dengan siapa, dan juga
dalam hubungan peranan yang bagaimana Dalam mengumpulkan data, penyelidik
menggunakan perakam suara, serta membuat catatan deskriptif dan reflektif.3 Untuk
menguji kesahihan data, tiga teknik yang dikemukakan Maleong (1995, hlm. 175-180)
telah digunakan iaitu perpanjangan pemerhatian laku, triangulasi, dan mendapatkan
pandangan dari rakan sejawat. Transkripsi secara kasar dilakukan sebelum menganalisis
data.
Analisis data dilakukan dengan mengikuti kerangka kerja Saville-Troike (1991), iaitu 1)
mendeskripsikan aspek-aspek tuturan, 2) menemukan hubungan antara aspek tuturan, 3)
membuat pencuplikan terhadap sesuatu kerangka, dan 4)melakukan analisis terhadap
interaksi bertutur. Analisis terhadap interaksi juga dilakukan terhadap strategi yang
digunakan oleh responden. Selain itu juga akan dilihat adakah terjadi penyimpangan
penggunaan sapaan, sejauh mana penyimpangan itu terjadi dan apa bentuk penyimpangan
tersebut. Oleh itu, data akan dianalisis dengan menggunakan kaedah pragmatik dan
sosiolinguistik sebagaimana yang dihuraikan oleh Brown dan Levinson (1987, hlm. 281).
Kaedah kuantitatif
Penyelidikan ini juga menggunakan pendekatan kuantitatif. Dalam pendekatan
kuantitatif, penghitungan dibuat untuk menunjukkan gejala atau ciri yang mana yang
lebih banyak atau yang lebih kerap berlaku. Pendekatan kuantitatif ini dilakukan dengan
menggunakan soal selidik. Langkah kerja yang dilakukan dalam penggunaan pendekatan
kuantitatif ialah:
1. Tugas Penyempurnaan Wacana
2. Membincangkan soalan soal selidik dengan membuat 10 situasi lakuan sapaan.
3. Melakukan kajian pilot pertama terhadap 10 orang pelajar.
4. Membincangkan hasil dari kajian pilot pertama dan membuat beberapa
pembetulan ke atas kekurangan soal selidik pertama. Hasil yang diperolehi dari
kajian pilot pertama ini adalah pelajar memberikan jawapan yang tidak sesuai
dengan apa yang diinginkan oleh penyelidik. Dengan itu, soal selidik kedua
dihasilkan.
5. Melakukan kajian pilot kedua dengan menggunakan soal selidik kedua yang
sudah dibincangkan sebelumnya, juga terhadap 10 orang pelajar.
6. Membincangkan hasil dari kajian pilot kedua. Para pelajar ternyata tidak
menjawab soal selidik sebagaimana yang diinginkan penyelidik. Para pelajar
memberikan huraian bagaimana mereka melakukan sapaan, bukannya perkataan
yang digunakan untuk menyapa pendengar. Dari perbincangan ini soal selidik
ketiga dihasilkan. Soal selidik ketiga inilah yang digunakan dalam penyelidikan.
7. Selanjutnya, soal selidik yang sudah dibincangkan ini diberikan kepada penilai
akhir yang sudah pakar di bidangnya.
8. Penyebaran soal selidik kepada 264 orang pelajar SKPD4 yang dilakukan dalam
kelas di FSSK. Penyebaran soal selidik dilakukan pada waktu yang sama terhadap
pelajar selama sesi pertama kelas mereka.
3 Hal ini sesuai dengan penjelasan Samarin (1993).
4 Pelajar SKPD ialah pelajar-pelajar di FSSK yang mengambil kursus wajib fakulti

9. Pertemuan dengan ahli kumpulan untuk mendiskusikan hasil dari jawapan yang
diberikan oleh para pelajar.
10. Membuatkan kod jawapan terhadap semua jawapan yang diberikan.
Dapatan Dan Perbincangan
Ada dua persoalan yang akan dihuraikan dalam makalah ini. Pertama, mengenai
pengaruh jarak sosial dan status sosial terhadap strategi lakuan sapaan pelajar lelaki dan
perempuan. Adakah status sosial dan jarak sosial diambil kira oleh pelajar dalam
berinteraksi dengan para ahli akademik yang berada di persekitaran kampus. Kedua,
persoalan mengenai perbezaan dan persamaan pola lakuan sapaan antara pelajar lelaki
dan perempuan. Berikut dihuraikan satu per satu.
Pengaruh jarak sosial dan status sosial terhadap strategi lakuan sapaan
Berdasarkan data yang diperolehi, baik melalui soal selidik, temu bual, mahupun
pengamatan, jarak serta status sosial kelihatan diambil kira oleh para pelajar. Namun
banyak yang kurang memperlihatkan kesantunan yang sepatutnya berlaku sesuai dengan
kesantunan budaya-budaya di Malaysia, terutamanya budaya Melayu.
i) Pengaruh jarak sosial terhadap strategi lakuan sapaan
Hanya ada dua jarak sosial yang didapati selama penelitian, iaitu jarak sosial dekat yang
dilabel dengan intim/akrab dan jarak sosial jauh yang dilabeli dengan tidak intim/ tidak
akrab. Apabila jarak sosial pelajar dekat dengan pelajar yang lain, mereka cenderung
untuk menyapa dengan panggilan mengikut dialek seperti “hang” (dialek Kedah).
Sebahagian pelajar juga mengunakan sapaan “hoi”, “hei”, “oi”. Walau bagaimanapun ada
penutur yang tidak menggunakan panggilan iaitu terus mengujarkan perbualan. contohcontohnya
adalah seperti berikut:
Data 3.2.2.1
026P 1: Hang buat ape hari ni.
026P 2: Buat keje Dr....
026P 1: Jom makan sama-sama. .
026P 2: Ok. Pukul berapa?
026P 2: Dalam 8.5
026P 2: Ok.
Konteks:
Seorang pelajar yang sedang lapar pergi menemui rakan akrabnya di bilik yang
berdekatan di sebuah kolej.
Data 3.2.2.1
027P 1: Hoi, makan ape?
027P 2: Maggi
027P 1: Hmmm, makan sorang je.. .
027P 2: Nak ke?
027P 2: Tak nak la, sikit je tinggal lagi.

027P 2: Ok.
Konteks:
Seorang pelajar pergi ke kafetaria dan bertemu rakannya yang sedang makan.
Data 2.2.1.2
029P 1: Oi.
029P 2: Yop.
Konteks:
Seorang pelajar lelaki sedang berjalan terburu-buru di legar fakulti dan berselisih dengan
seorang rakan sesama lelaki yang mempunyai hubungan rapat dengan pelajar tersebut.
Peserta tutur perempuan yang tidak mempunyai hubungan akrab/intim cenderung
memanggil dengan sebutan nama, sementara dalam kalangan lelaki cenderung hanya
menganggukkan kepala saja dan terkadang juga mengujarkan “hai” seperti pada contoh
berikut ini:
Data 2.2.1.2
174P 1: Hi.
174P 2: Hi
Konteks:
Seorang pelajar lelaki sedang berjalan di legar fakulti dan berselisih dengan seorang
kawan sesama lelaki yang tidak mempunyai hubungan rapat dengan pelajar tersebut. Jadi
mereka menyapa sambil lalu sahaja
Dengan pensyarah yang tidak mempunyai hubungan akrab, pelajar perempuan cenderung
hanya menyapa dengan panggilan gelaran misal “Prof”, “Puan” sambil menganggukkan
kepala tanpa ada sambungan interaksi setelah itu, sementara pelajar lelaki terkadang tidak
menyapa, tetapi sebagian hanya menganggukkan kepala saja. Penjelasan lanjut dapat
dilihat dalam contoh yang berikut;
Data 1.1.2.2
033P 1: Prof. (sambil senyum dan menganggukkan kepala)
0337P 2: Ya. (juga balas menganggukkan kepala)
Konteks:
Seorang pelajar sedang berjalan di legar fakulti dan berselisih dengan seorang pensyarah
yang tidak mempunyai hubungan akrab dengan pelajar tersebut.
Hubungan yang akrab antara pelajar dengan pensyarahnya menampakkan perbezaan
dalam strategi sapaan yang berlaku. Mereka tidak hanya menyapa, tetapi dilanjutkan
dengan berinteraksi pendek sambil saling memberi perhatian. Hal ini dapat diamati dalam
perbualan berikut:
Data 2.5.2.1
004P 1: Salam Prof. Nak pergi makan ke Prof.
004P 2: Belum lagi. Masih ada kerja ni.
004P 1: O ye ke Prof. Sibuk sangat sekarang ya prof.

004P 2: Tak juga. Sibuk sikit je.
Konteks:
Seorang pelajar terserempak seorang pensyarah yang sedang terburu-buru berjalan di
legar fakulti.
ii) Pengaruh status sosial terhadap pola lakuan sapaan
Status sosial mengharuskan seseorang dipanggil sesuai dengan status jawatannya di
sesebuah tempat bekerja dan juga tingkat pendidikan formal yang dilaluinya yang
menyebabkan seseorang tersebut memiliki gelaran formal. Setiap orang akan dikatakan
memiliki kecekapan komunikasi yang tinggi apabila mampu menyapa orang lain
bersesuaian dengan status sosial yang disandangnya. Hal ini dapat diamati dalam contohcontoh
berikut5:
Data 1.5.2.1
002P 1: Salam puan. Jemputlah makan sekali.
002P 2: Terima kasih. Dah nak makan ni ?
002P 1: Ya puan
Konteks:
Seorang pelajar sedang makan dengan rakannya, tiba-tiba datang seorang pensyarah yang
juga menuju ke kedai makan tersebut.
Data 1.5.2.1
001P 1: Salam. Dr. Nak ke mana ni?
001P 2: Ni baru nak makan. Jom makan skali.
001P 1: Terimaksih Dr.
Konteks:
Seorang pelajar berselisih di bangunan kemudahan pelajar dengan seorang pensyarahnya.
Interaksi mereka menunjukkan hubungan yang mesra.
Data 4.12.2.2
015P 1: Puan. Dalam tu dapat internet ke?
015P 2: Boleh.
015P 1: Rujukan apa yang ada dalam ni puan
015P 2: Dictionary
015P 1: Ok..
Konteks:
Seorang pelajar bertanya mengenai bilik yang ada di belakang kaunter pertanyaan kepada
pembantu perpustakaan di sebuah kaunter pertanyaan.
Contoh dapatan di atas menonjolkan maklumat tentang status sosial seseorang yang
disapa. Pada data 2.5.2.1, jelas bahawa pendengar mempunyai pendidikan formal yang
tidak mencapai peringkat doktor falsafah, oleh itu beliau disapa dengan sapaan “Puan”.
Sementara pada data 1.5.2.1, pendengar disapa dengan gelaran formal yang telah
ditempuhnya, yakni peringkat doktor, seperti mana profesor akan disapa dengan gelaran
5 Sila rujuk Lampiran C

“Prof” kerana pencapaian dalam peringkat jawatan. Selain itu, di tempat-tempat formal,
perempuan disapa dengan “Puan” dan lelaki disapa dengan sapaan “Encik”.
iii) Kecelaruan status sosial dan jarak sosial terhadap pola lakuan sapaan pelajar
Hal yang merisaukan pemikir bahasa dan budaya akhir-akhir ini adalah ramainya
generasi muda, dalam hal ini termasuk pelajar di dunia pendidikan tinggi, yang sudah
tidak menguasai kecekapan sosiopragmatik. Mereka tidak menempatkan penggunaan
sapaan yang sesuai, di mana dia bercakap dan kepada siapa dia bercakap tidak lagi
diambil kira (Abdullah Hassan 2008, Awang Sariyan 2007). Sekiranya di pejabat, pelajar
tersebut menyapa petugas perempuan dengan sapaan “Akak” dan menyapa petugas lelaki
dengan sapaan “Bang”, yang semestinya disapa dengan sapaan “Puan” dan Encik” atau
malah tidak menggunakan sapaan sama sekali. Seperti terlihat dalam contoh berikut ini.
Data 4.12.2.2
034P 1: Kalau nak cari dokumen ‘cam mana?
034P 2: Cuba dicari dekat situ. Kalau tak jumpa, cari sebelah sana..
034P 1: Timakasih
034P 2: Ok, sama.
Konteks:
Seorang pelajar (P1) bertanya kepada pembantu perpustakaan (P2) seorang perempuan,
di kaunter pertanyaan mengenai letak dokumen yang hendak dia cari.
Data 2.1.2.2
035P 1: Puan (menganggukkan kepala sambil senyum)
035P 2: (Menganggukkan kepala saja)
Konteks:
Seorang pelajar menyapa seorang pensyarah yang sudah memiliki gelaran Dr., dan
diketahui oleh pelajar tersebut.Tentu saja hal ini menyebabkan pensyarah tersebut merasa
tidak dihargai.
Data 2.1.2.2
036P 1: Kak, saya nak cari buku ni, ade ke tak?
036P 2: Cuba saya tengok dulu ye.
036P 1: Memang tak de. Cuba cari di perpustakaan ATMA ye. Tau kan tempatnya?
036P 2: Tau kak. Timakasih..
036P 1: Same-same
Konteks:
Seorang pelajar mencari sebuah buku yang tidak ditemukannya di perpustakaan tersebut
dan dia bertanya kepada petugas di kaunter pertanyaan dengan sapaan “Kak”.

Perbezaan Strategi Lakuan Sapaan Responden Lelaki dan Perempuan
i) Lakuan sapaan lelaki
Kata Sapaan di kalangan Responden Lelaki
non verbal, 171,
20%
time based
5aikum / time
based, 9, 1%
hi / hello / salam
/ time based,
221, 27%
af + hi / hello /
salam / time
based, 67, 8%
af + hi / hello /
salam / time
based / apa
khabar, 12, 1%
hi / hello / time
based / salam +
apa khabar, 29,
3%
non verbal +
verbal, 114, 13%
lain-lain
(greeting +
cultural variant /
af), 118, 14%
non applicable /
no answer, 110,
13%
no response, 4,
0%
non verbal
time based 5aikum / time
based
hi / hello / salam / time based
af + hi / hello / salam / time
based
af + hi / hello / salam / time
based / apa khabar
hi / hello / time based / salam +
apa khabar
non verbal + verbal
lain-lain (greeting + cultural
variant / af)
non applicable / no answer
no response
Carta 1: Lakuan sapaan lelaki
Berdasarkan Carta 1 di atas, resoponden lelaki lebih cenderung untuk menggunakan
kategori 36 untuk menyapa. Jenis sapaan seperti ini muncul sebanyak 221 kali (27%) dan
ia kebanyakannya digunakan di perpustakaan (situasi 4 – sila lihat lampiran). Jumlah
kesemua pelajar lelaki yang menjadi responden untuk tujuan kajian ini adalah seramai 57
orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 22 orang responden lelaki menggunakan sapaan
kategori 3 untuk menjawab soalan situasi 4i, 20 responden bagi soalan 4ii, dan 221
responden bagi soalan 4iii. Oleh sebab situasi ini adalah situasi yang tidak rasmi, para
responden ini lebih selesa menggunakan “hi / hello / salam” atau mengucap ”selamat
pagi” atau ”selamat petang”. Keadaan yang sama juga turut berlaku pada situasi 2v
(menyapa rakan sekelas di ruang legar fakulti). Terdapat 21 responden lelaki yang
memilih untuk menyapa rakan sekelas mereka dengan sapaan kategori 3.
Bentuk sapaan kategori 1 (sapaan bukan verbal) turut menjadi salah satu bentuk sapaan
yang digemari oleh responden lelaki. 20% daripada mereka menggunakan sapaan bukan
verbal seperti tersenyum, mengangguk, dan kadang-kala melambai tangan. Sapaan jenis
6 Hai / hello / salam / sapaan berasaskan masa. Sila rujuk Lampiran A – Kategori Sapaan

ini kebiasaannya digunakan oleh responden ini apabila mereka bertemu dengan orang
yang tidak dikenali yang berumur antara 40-50 tahun (situasi 2i dan 3i).
Satu lagi bentuk sapaan yang digemari oleh responden lelaki ini adalah sapaan kategori 8
(sapaan + variasi budaya). 14% (n= 118) daripada mereka menggunakan sapaan jenis ini,
yang penulis namakan sebagai sapaan budaya. Kami namakan sedemikian mengambil
sempena pengaruh budaya bahasa pertuturan ini. Bentuk sapaan seperti ini biasanya
muncul pada situasi 1i (menyapa pensyarah di UNIKEB), 1ii (menyapa rakan sekelas di
UNIKEB), dan 2iv (menyapa pelajar senior di ruang legar fakulti). Sapaan budaya yang
biasa di praktikkan oleh responden ini di UNIKEB adalah “hi + makan?”, “senyum + dah
makan?”, atau “jom makan”.
Carta pai juga menunjukkan jumlah penggunaan kata sapaan kategori 7 (sapaan bukan
verbal + sapaan verbal) yang agak tinggi. Seramai 13% (n=114) daripada responden
lelaki menggunakan bentuk sapaan tersebut terutamanya di dalam situasi 2ii dan 2iii
(menyapa pensyarah di ruang legar fakulti). Pada kebiasaanya, sapaan verbal seperti
“salam” atau “hi” akan diiringi oleh senyuman iaitu salah satu bentuk sapaan bukan
verbal.
Carta pai Lakuan Sapaan Lelaki juga menunjukkan bahawa responden lelaki tidak gemar
untuk menggunakan sapaan kategori 2, 5, dan 10. Peratusan yang dapat dilihat hanyalah
antara 0-1%. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor. Hasil daripada temu bual
yang dilakukan terhadap 30 pelajar dari kumpulan yang sama, pengkaji mendapati
bahawa pelajar lelaki lebih cenderung untuk menggunakan bentuk sapaan yang mudah
dan pendek seperti “hi”, “oi”, “woi”, “bai” atau sekadar nama pendek tanpa kata sapaan.
Mengikut pendapat salah seorang responden temu bual, beliau menyatakan bahawa
sapaan seperti contoh di atas adalah lebih bersifat ”lelaki” apabila mereka menyapa
rakan-rakan karib mereka. Apabila responden lelaki melakukan sapaan terhadap
pensyarah mereka, mereka menggunakan “hi” + Prof, Dr. dan sebagainya. Adalah sangat
jarang untuk mereka menggunakan “Assalamualaikum” ataupun sapaan berasaskan masa
seperti “Selamat pagi, Selamat petang” dan sebagainya.

ii) Lakuan sapaan perempuan
Kata Sapaan di kalangan Responden Perempuan
non verbal, 776,
26%
time based
5aikum / time
based, 37, 1%
hi / hello / salam /
time based, 490,
16%
af + hi / hello /
salam / time
based, 280, 9%
af + hi / hello /
salam / time
based / apa
khabar, 32, 1%
hi / hello / time
based / salam +
apa khabar, 71,
2%
non verbal +
verbal, 440, 14%
lain-lain (greeting
+ cultural variant /
af), 447, 14%
non applicable /
no answer, 444,
14%
no response, 88,
3%
non verbal
time based 5aikum / time
based
hi / hello / salam / time based
af + hi / hello / salam / time
based
af + hi / hello / salam / time
based / apa khabar
hi / hello / time based / salam +
apa khabar
non verbal + verbal
lain-lain (greeting + cultural
variant / af)
non applicable / no answer
no response
Carta 2: Lakuan sapaan perempuan
Berbeza dengan responden lelaki, responden perempuan lebih cenderung menggunakan
sapaan yang berbentuk bukan verbal (Kategori 1) berbanding sapaan verbal. Sapaan
bukan verbal muncul paling banyak pada situasi 3i (menyapa lelaki tua di kolej
kediaman) di mana 102 daripada 207 responden perempuan memilih untuk sekadar
‘senyum’ sebagai cara untuk menyapa. Ini diikuti oleh situasi yang kedua iaitu 2i
(menyapa perempuan tua di ruang legar fakulti) iaitu sebanyak 99 kali penggunaan
Kategori 1. Secara keseluruhannya, responden lelaki dan perempuan cenderung untuk
menggunakan sapaan bukan verbal – senyum – terutamanya pada situasi 2i dan 3i.
Penggunaan sapaan bentuk ini dilihat sebagai satu cara untuk mereka menunjukkan rasa
hormat terhadap warga tua yang tidak dikenali. Daripada wawancara, senyum juga
merupakan langkah awal bagi mereka untuk melihat reaksi pendengar, sama ada keadaan
seterusnya sesuai untuk mereka meneruskan dengan sapaan berbentuk verbal.
Kategori kedua yang digunakan oleh responden perempuan adalah kategori 3 (hi / hello /
salam / sapaan berasaskan masa). Jumlah penggunaan bentuk sapaan kategori tersebut
adalah 490 kali atau 16%. Ia paling banyak digunakan dalam situasi 4i dengan
kemunculan sebanyak 59 kali. Oleh sebab situasi tersebut mengkehendaki responden
untuk memohon pertolongan daripada pustakawan, responden cenderung untuk
menggunakan sapaan yang lebih sopan. Walau bagaimanapun, di dalam situasi 3i,

keadaan sangat berlainan walaupun pengkaji menjangkakan responden akan
menunjukkan tahap kesantunan yang tinggi bagi kedua-dua situasi (3i dan 4i). Hanya
terdapat 6 responden yang menggunakan kategori 3 untuk menyapa lelaki tua di kolej
kediaman (situasi 3i).
Seperti responden lelaki, responden perempuan juga gemar menggunakan sapaan
Kategori 7 (sapaan bukan verbal + sapaan verbal) dan Kategori 8 (Sapaan Budaya).
Kedua-dua kategori tersebut menunjukkan peratusan yang sama iaitu 14%. Sapaan
Budaya paling kerap digunakan di dalam situasi 1ii (menyapa rakan sekelas di pusat
pelajar) iaitu n=92. Ianya diikuti oleh situasi 3iv (menyapa rakan sebilik di kolej) dengan
n=59. Sapaan Budaya di sini merujuk kepada sapaan yang berlaku dalam ruang lingkup
budaya tertentu; contohnya “Assalamualaikum” dan “Dah makan?” mewakili sapaan
budaya Melayu. “Dah makan” juga dikhaskan sebagai sapaan budaya Malaysia yang
multibudaya dan multilingual kerana penutur bahasa Cina juga mengamalkan bentuk
sapaan ini sesama mereka.
Responden perempuan dilihat tidak gemar untuk menggunakan bentuk sapaan Kategori 2
dan 5 di mana secara keseluruhannya, hanya 1% bentuk sapaan tersebut yang digunakan.
Alasannya adalah sama dengan dengan apa yang diberikan oleh responden lelaki dalam
sesi temu bual. Ucapan ringkas seperti “hai” adalah lebih baik dan lebih mesra untuk
digunakan sesama rakan. Ucapan “hai” juga digunakan untuk melakukan sapaan terhadap
senior yang mereka kenali. Mereka tidak perlu menggunakan kata sapaan yang formal
dalam situasi seperti ini. Ucapan seperti ini juga dilihat sesuai untuk digunakan semasa
menyapa pensyarah yang dikenali mereka. Bentuk sapaan seperti “Assalamualaikum”,
“sapaan berasaskan masa” atau “senyum” hanya digunakan apabila responden bertemu
dengan pensyarah yang tidak begitu rapat atau tidak begitu dikenali mereka.
Kesimpulan
Jarak sosial dan status sosial mempengaruhi strategi lakuan sapaan pelajar lelaki dan
perempuan di institusi pengajian tinggi di Malaysia. Dua jarak sosial dalam penelitian ini
adalah jarak sosial dekat yang dirujuk sebagai intim/ akrab dan jarak sosial jauh iaitu
tidak intim/ tidak akrab. Dapatan menunjukkan bahawa jika jarak sosial lawan tutur
pelajar (interlocuters), mereka cenderung menyapa dengan panggilan “hang” atau sapaan
“kamu” sesuai dengan dialek daerah mereka masing2. Sebahagian mereka tidak
menggunakan sapaan sama sekali, terus saja berinteraksi kepada persoalan yang ingin
disampaikan. Sebahagian pelajar lelaki menggunakan sapaan “Oi”, “Hei”, “Hoi”.
Apabila hubungan pelajar yang satu dengan yang lain tidak intim/ tidak akrab, jika
perempuan akan menyapa dengan menyebut nama. Sementara itu lelaki cenderung hanya
menganggukkan kepala sahaja dan/atau menggunakan sapaan “hai”.
Berinteraksi dengan pensyarah yang memiliki hubungan tidak akrab, pelajar perempuan
cenderung menyapa dengan panggilan gelaran, misalnya “Prof”, “Puan”, atau “Dr”
sambil menganggukkan kepala tanpa ada sambungan percakapan setelah itu, sementara
pelajar lelaki terkadang tidak menyapa, tetapi sebagian hanya menganggukkan kepala

saja. Apabila pelajar memiliki hubungan yang dekat dengan pensyarahnya, mereka tidak
hanya sekadar menyapa, tetapi dilanjutkan dengan interaksi yang menunjukkan saling
memberi perhatian.
Status sosial mengharuskan seseorang dipanggil sesuai dengan posisinya di suatu tempat
bekerja dan sesuai dengan tingkat pendidikan formal yang dilaluinya yang menyebabkan
seseorang tersebut memiliki gelaran formal. Setiap orang akan dikatakan memiliki
kecekapan berkomunikasi dan sopan santun apabila mampu menyapa orang lain sesuai
dengan status sosial yang disandangnya. Sekiranya pendidikan formal seseorang belum
sampai peringkat doktor, beliau akan disapa dengan sapaan “Puan”, namun apabila sudah
menyelesaikan pendidikan peringkat falsafah, maka akan disapa dengan gelaran “Dr.”.
Seorang profesor akan disapa dengan sapaan “Prof”. Di tempat bekerja, iaitu di pejabat,
pendengar/lawan tutur perempuan akan disapa dengan sapaan “Puan”, sementara lelaki
disapa dengan sapaan “Encik”.
Dapatan di atas mengesahkan strategi lakuan bahasa sapaan yang berlaku dalam kalangan
pelajar institusi pengajian tinggi di Malaysia. Ia secara tidak langsung menunjukkan pola
perlakuan sapaan golongan muda dari berbagai kumpulan etnik di Malaysia, oleh itu ia
boleh simpulkan sebagai mewakili komuniti bahasa golongan muda Malaysia yang
multibudaya. Dapatan menunjukkan bahawa pelajar tahun pertama ini menguasai
kecekapan komunikasi yang bersesuaian dengan konteks rasmi pertuturan walaupun
sebahagian kecil masih perlu memahami budaya perlakuan sapaan dalam konteks ini.
Kebimbangan pengkaji bahasa tentang kekurangan kecekapan sosiopragmatik dalam hal
sapaan ini terbukti secara empirikal melalui kajian ini bila mana sememangnya masih ada
segelintir yang menggunakan kata panggilan yang tidak sesuai dengan konteks rasmi
interaksi. Hal ini dapat dijadikan renungan dan tindakan bersama berbagai pihak yang
terlibat dengan pengajaran bahasa juga pendidikan secara rasmi atau tidak agar usaha
dapat dibuat bagi memberikan kesedaran kepada golongan muda tentang kepentingan
menguasai kecekapan sosiopragmatik kerana ia mencerminkan nilai budi seseorang dan
komuniti bahasa itu sendiri.
Selain itu, kajian tentang perlakuan sapaan oleh peringkat umur golongan ini boleh
dilanjutkan kepada konteks yang lain, contohnya, konteks sosial dalam kawasan geografi
tertentu, atau ranah yang tertentu. Ianya dapat memberikan gambaran yang lebih jelas
dalam membincangkan tentang impak dapatan terhadap budaya Melayu, dan Malaysia.
Rujukan
Abdul Sukor Shaari, Nuraini Yusoff & Mohd Isa Awang (2003). Bahasa Melayu
Komunikasi. Bentong Pahang Darul Makmur: PTS Publication & Distributor Sdn.
Bhd.
Abdullah Hassan (2008). Bahasa dan Pembinaan Tamadun Bangsa. Syarahan Umum
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. 18 Ogos, Bilik Senat, UKM.

Awang Sariyan (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka

Tidak ada komentar:

Posting Komentar