"OM AWIGNAMASTU NAMA SIDDHEM OM SWASTIASTU" SEMOGA SEMUA DALAM PERLINDUNGAN TUHAN, SELAMAT MEMBACA DAN SEMOGHA BERMANFAAT.jangan lupa kunjungi videobsaya di link https://youtu.be/-UJdPDAjETM

11/28/2011

BIMBINGAN BERKARYA - MENULIS SKRIP DRAMA



PENGENALAN
Sebelum anda menulis sebuah skrip drama, anda tentulah terlebih dahulu perlu mengetahui apakah  itu drama. Anda tentu  pernah menonton drama pentas atau lebih dikenali sebagai teater. Apakah yang dimaksudkan dengan  drama dan apakah yang membezakannya daripada teater. Apakah menulis skrip drama itu berbeza daripada menulis novel dan apakah yang membezakan skrip drama pentas daripada drama televisyen?
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN DRAMA?
Drama berasal daripada  perkataan “dran” (Greek) yang bermaksud melakukan atau melakonkan. Drama ialah aksi mimetic (peniruan), iaitu  aksi yang meniru  atau mewakilkan perlakuan manusia. Menurut Aristotle, drama ialah peniruan kehidupan, sebuah cermin budaya dan suatu bayangan kebenaran. Dalam buku The American College Dictionary, drama didefinisikan sebagai karangan prosa dan puisi yang menyajikan dialog, pantomin atau cereka yang mengandungi konflik untuk dipentaskan. Mengikut Oxford Dictionary, drama sebagai komposisi prosa boleh disesuaikan untuk diaksikan di atas pentas yang ceritanya disampaikan melalui dialog dan aksi, dan dipersembahkan dengan bantuan gerak, kostum dan latar hiasan seperti  kehidupan yang sebenar. Bagi Aristotle, plot merupakan penggerak utama sesebuah drama dan drama harus dibina daripada tiga kesatuan, iaitu aksi, tempat dan masa. Elemen-elemen inilah yang menyebabkan drama ialah  sebahagian daripada cabang sastera. Selain  elemen sastera, drama juga merangkumi elemen-elemen seni yang lain seperti lakon, seni muzik, seni bina, seni busana dan seni tari.
Drama bukan hanya untuk dibaca , tetapi untuk dilakonkan di atas pentas, dengan penghayatannya berbeza antara dibaca dengan  pementasannya. Di sinilah letaknya perbezaan maksud antara drama dengan teater. Sebuah drama ialah naskhah skrip yang boleh dibaca secara individu tanpa memerlukan ruang, pelakon atau bantuan seni yang lain. Apabila skrip drama itu dilakonkan di atas ruang pentas dengan gabungan pelbagai seni yang lain dan ditonton pula oleh khalayak secara kolektif, maka ia dinamakan teater.
SKRIP DRAMA
Sebuah skrip drama berbeza daripada novel dan cerpen atau puisi. Bagi novel dan cerpen, pembaca akan dijelaskan secara terperinci tentang sesuatu situasi dan latar bagi sesuatu peristiwa yang berlaku melalui penerangan pengarang, manakala  dalam sesebuah naskhah drama, seseorang pembaca hanya akan diberikan gambaran umum (deskripsi) tentang sesuatu situasi, latar atau tempat, dan dialoglah yang akan menyampaikan mesej dan pemikiran pengarang. Hal inilah yang membezakan drama daripada karya sastera yang lain. Sememangnya sifat sesebuah naskhah drama digerakkan oleh dialog. Pemikiran atau gagasan pengarang disampaikan melalui dialog pelakon (watak-watak) yang berinteraksi dalam sesebuah drama. Sebuah naskhah drama yang baik akan dapat memberikan gambaran jelas tentang pemikiran pengarang melalui unsur-unsur dramatik dalam dialog yang dihasilkan. Unsur dramatik bermaksud diksi atau ungkapan yang boleh membangunkan konflik dalam drama seperti dialog yang menimbulkan perasaan marah, gembira, lucu,  dan seumpamanya. Sebuah drama yang baik juga harus mempunyai unsur suspens, ketegangan dan seharusnya mampu membina rasa ingin tahu pembaca atau penonton.
STAIL DAN PERWATAKAN
Drama merupakan karya seni yang mempunyai sifat sosial yang paling luas. Drama bersifat kerja berkumpulan kerana gabungan pekerja seni yang lain dan juga kerana reaksi penonton yang bersifat langsung (hal ini tentu berbeza daripada reaksi penonton yang menonton filem atau televisyen). Skrip drama yang menjadi sebahagian daripada cabang sastera bersifat “tetap” dan kekal secara keseluruhan, tetapi setiap kali naskhah drama itu dipersembahkan (dilakonkan) di atas pentas, produksi teks (skrip) akan berlaku perbezaan. Hal ini demikian kerana pelakon akan memberikan reaksi yang berbeza kepada penonton yang berbeza dan juga kesan daripada mood pelakon yang berbeza dalam setiap persembahan. Gabungan antara nilai yang tetap dan berubah inilah menjadi kelebihan sesebuah teater yang membezakannya daripada  drama yang dirakamkan secara mekanikal, iaitu filem, drama radio dan drama televisyen.
CIRI-CIRI DRAMA
Pada umumnya, drama mempunyai ciri-ciri yang berikut:
  • Drama merupakan prosa moden yang dihasilkan sebagai naskhah untuk dibaca dan dipentaskan.
  • Naskhah drama boleh berbentuk prosa atau puisi.
  • Drama terdiri daripada dialog yang disusun oleh pengarang dengan watak yang diwujudkan. 
  • Pemikiran dan gagasan pengarang disampaikan melalui dialog watak-wataknya.
  • Konflik ialah unsur penting dalam drama. Konflik digerakkan oleh watak-watak dalam plot, elemen penting dalam sesebuah skrip.
  • Konflik ialah unsur penting dalam drama. Konflik digerakkan oleh  watak-watak dalam plot, elemen penting dalam sesebuah skrip drama.
  • Sebuah skrip yang tidak didasari oleh konflik tidak dianggap sebuah drama yang baik.
  • Gaya bahasa dalam sesebuah drama juga penting kerana ia menunjukkan latar masa dan masyarakat yang diwakilinya, sekali gus drama ini mencerminkan sosiobudaya masyarakat yang digambarkan oleh pengarang.
STRUKTUR DRAMA
Pada dasarnya sesebuah drama mempunyai struktur tiga bahagian babakan (three act structure). Sejak drama tragedi Greek, drama Elizabeth (Inggeris) hingga  drama moden dan lakon layar filem, kesemua struktur skripnya dipecahkan kepada tiga bahagian. Perbandingannya adalah seperti kehidupan manusia yang terbahagi semasa dilahirkan, dewasa dan akhir hayatnya.
Sebelum memulakan sebarang bentuk tulisan, kita perlu mempunyai asas yang kukuh. Hal ini  demikian  kerana asas yang teguh akan mendukung struktur, konsep dan visi sesebuah drama. Ia akan menghasilkan satu rangka kerja atau karya yang kukuh yang tidak mudah pecah. Tanpa asas yang kukuh akan hanya menghasilkan kekecewaan, kebuntuan atau yang sering dikatakan sebagai “writers block”.
Kebuntuan lahir disebabkan tidak adanya perancangan. Tanpa perancangan, ia menyukarkan penulis mencari arah atau jalan yang betul dalam menghasilkan cerita.
Tiga elemen yang cukup penting yang perlu diberikan tumpuan oleh penulis sebelum memulakan penulisan skripnya ialah:
·  Fokus
·  Logik
·  Perwatakan.
Fokus
Untuk sebuah cerita sentiasa dalam kesatuan, watak-watak dan cara  mereka berfungsi memerlukan fokus atau tumpuan. Ia tidak ada bezanya sama ada jalan cerita kita berbentuk linear, non-linear (spiral) atau selari. Sentiasa memberikan tumpuan yang kukuh akan menjadikan proses penulisan kita mudah dan lancar. Fokus memerlukan beberapa pertimbangan. Yang utama adalah dengan  mengetahui watak-watak (siapa mereka?), latar, sifat dan perkembangan mereka. Fokus juga memerlukan perwatakan dan cerita secara keseluruhan mempunyai matlamat yang jelas pada akhirnya.
Logik
Apabila kita menghasilkan cerita dengan segala perwatakannya, tema dan ruang tempat, kita sebenarnya terlibat dengan penciptaan. Segala perwatakan, tema dan ruang masa serta tempat mempunyai peraturannya sendiri sebagaimana sebuah dunia dicipta. Sebab itu penulis drama sering dikatakan mencipta sebuah dunia. Akan tetapi dunia bagaimanakah yang dicipta itu? Bagaimanakah kehidupannya? Drama mengangkat atau meniru realiti (kehidupan), tetapi realiti yang bagaimana? Oleh itu realiti sesebuah drama perlu dilihat dalam konteks ceritanya, perwatakan dan temanya. Di sinilah logik drama tersebut diukur.
Watak dan Perwatakan
Sebuah skrip drama yang baik mesti mempunyai watak-watak yang mampu membawa cerita untuk terus berkembang. Watak-watak inilah yang menjadi cerita, dan kuasa merekalah yang menghidupkan cerita. Oleh itu watak ialah  elemen terpenting dalam drama. Wataklah yang menggerakkan plot cerita.  Dalam sesebuah drama terdapat watak utama dan watak sampingan. Selalunya dalam sesebuah drama terdapat satu watak utama, tetapi pada saya sesebuah drama mempunyai dua watak utama,  iaitu watak protagonis (watak yang menyokong idea penulis) dan watak antogonis (watak yang menentang idea penulis). Pertentangan idea ini akan menimbulkan konflik dan pertentangan konflik inilah yang membentuk struktur konflik dramatik yang menarik. Watak sampingan ialah watak-watak yang lain yang menyokong protagonis ataupun antogonis atau watak-watak yang melengkapkan cerita.
ELEMEN DRAMA
Elemen drama yang perlu diketahui oleh bakal penulis skrip ialah:
Tema/Pemikiran
Tema ialah idea atau persoalan pokok yang dapat dirumuskan daripada keseluruhan inti pati cerita. Persoalan pokok ini merupakan gagasan yang ingin disampaikan oleh  penulis dalam skripnya. Pemikiran ini disampaikan melalui dialog dan aksi watak-wataknya. Pembaca naskhah atau penonton drama yang sensitif akan dapat menangkap idea atau persoalan pokok ini selepas selesai membaca skrip atau menonton teater. Malah,  selalunya mereka bukan sahaja dapat menangkap idea atau tema drama tersebut, tetapi juga mereka akan dapat menjaring maksud lain atau lapisan maksud yang lain yang terkandung dalam drama tersebut. Pemikiran yang tersembunyi yang hanya dapat ditafsir oleh pembaca atau penonton yang mahu berfikir atau memahami perlambangan yang digunakan atau unsur cerita yang disampaikan oleh penulis dinamakan sebagai sub-teks.
Plot
Plot sangat penting dalam pembinaan struktur drama. Plot adalah struktur drama yang dibina melalui dialog dan aksi setiap watak. Dialog terbina melalui kata-kata atau bahasa. Melalui dialog inilah konflik dan perkembangan cerita berlaku. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, konflik memainkan peranan yang cukup penting dalam membangunkan struktur sebuah drama. Bertolak daripada konflik dan ketegangan inilah sesuatu peristiwa digerakkan dan dilanjutkan perkembangannya hingga kepada peleraiannya atau kesimpulan cerita. Plot bukan cerita atau naratif. Mengikut E.M. Forster cerita ialah huraian tentang peristiwa yang disusun mengikut urutan waktu. Plot ialah jalan cerita yang memberikan maklumat cerita. Ia dibina oleh watak dan apa yang berlaku melalui kesan sebab dan akibat dalam ruang dan waktu.
Penulis perlu memahami bahawa dalam sesebuah persembahan teater, usaha menarik perhatian penonton dan menahan perhatian mereka selama mungkin ialah  tugas yang cukup penting. Sebuah plot mesti berupaya menarik perhatian dan mencipta suspens  dan di sinilah kesemua binaan dramatik memberi tumpuan. Harapan atau jangkaan penonton atau pembaca mesti dibina (tetapi hanya diselesaikan pada babak adegan terakhir), aksi (adegan) mesti kelihatan hampir mencapai objektifnya tetapi ia perlu tidak tercapai sehinggalah di akhir adegan, dan yang paling penting sebuah plot mesti mempunyai kepelbagaian (variasi) rentak dan tempo. Sebuah plot yang monotonos akan hanya menghilangkan minat penonton dan akhirnya kelihatan hambar dan mendatar.
Terdapat beberapa bentuk suspens atau ketegangan yang boleh dicipta dalam sesebuah skrip. Soalan-soalan asas ini boleh menjadi contoh ketika hendak memulakan tulisan skrip anda, “Apa yang akan berlaku selepas ini?”, atau yang sama maksudnya, “Saya tahu apa yang akan berlaku, tetapi bagaimana ia akan berlaku?” Atau, “Saya tahu apa yang akan berlaku dan saya tahu bagaimana ia akan berlaku, tetapi bagaimanakah watak X memberi reaksi atau bertindak balas kepadanya?”
Soalan-soalan asas ini wajar berlaku di awal bahagian skruktur dramatik skrip anda supaya pembaca atau penonton anda dapat terus bersedia kepada elemen utama suspens dalam drama anda. Seseorang mungkin mengatakan tema utama sesuatu drama itu mesti jelas. Bagaimanapun dalam sebuah skruktur skrip drama yang baik, ia terletak pada persoalan. Contohnya, siapakah yang melakukan pembunuhan itu, lelaki manakah yang akhirnya berjaya memiliki gadis itu, atau bagaimana bila sesorang suami mengetahui yang isterinya berlaku curang dan memiliki kekasih lain?
Apabila penonton atau pembaca telah mengetahui tema dan persoalan dan objektif aksinya, maka jangkaan mereka akan tertumpu kepada titik akhir drama tersebut (penyelesaian) dan tahu ke mana tumpuan drama tersebut akan bergerak. Perhatian penonton tertumpu ke arah yang betul.
Bagaimanapun perlu juga diketahui, tumpuan perhatian penonton selalunya adalah pendek. Satu elemen suspens utama tidak mencukupi untuk terus mengikat perhatian penonton. Oleh itu,  sebuah struktur skrip drama memerlukan suspens sampingan. Jadi suspens sampingan ini akan mendukung elemen suspens yang utama. Suspens sampingan ini diperlukan pada setiap adegan atau bahagian drama, yang akhirnya bergabung dengan keseluruhan momentum struktur drama tersebut.
Dalam pembentukan plot, setiap watak bergerak dalam kerangka sebab dan akibat. Sesuatu peristiwa berlaku disebabkan oleh sesuatu alasan yang kukuh dan ia akan menghasilkan sesuatu akibat yang wajar. Ia merupakan  hukum yang mempunyai logikanya yang tersendiri. Oleh itu,  seseorang penulis perlu memastikan tindakan sesuatu watak itu wajar mengikut latar watak, tempat dan waktu, dan peristiwanya dan akibat yang berlaku itu adalah munasabah.
Latar
Elemen tempat, masa atau zaman serta masyarakat yang diceritakan selalunya dijelaskan melalui latar. Latar dalam drama  penting dijelaskan, tetapi perincian latar dalam drama adalah terhad. Ia hanya perlu untuk tujuan pementasan untuk menjelaskan tentang tempat dan masa, cukup untuk memberikan panduan kepada pembaca atau penonton. Berbanding dengan filem atau televisyen, drama pentas menghadapi kekangan dalam menukar set atau prop yang kerap dari satu babak ke satu babak yang lain.
Babak
Bahagian dalam drama yang menjelaskan peristiwa yang berlaku dalam sesuatu latar tempat dan masa disebut babak. Pertukaran latar tempat dan masa membawa perubahan babak.
Adegan
Adegan merupakan pecahan dalam sesuatu babak yang menjelaskan sesuatu peristiwa yang berlaku dalam sesuatu latar tempat tetapi pada masa yang berbeza.
Bahasa
Asas sebuah drama ialah perkataan atau dialog. Drama terbina oleh dialog dan aksi. Oleh itu,  bahasa yang menjadi asas perkataan adalah elemen yang cukup penting bagi sesebuah drama. Daripada bahasa yang dituturkan oleh pelakon itu, pemikiran dan gagasan pengarang disampaikan. Sesebuah drama yang baik akan menggunakan bahasa yang ringkas, padat dan mudah difahami supaya berkesan kepada penonton. Gaya bahasa atau dialog yang meleret dan sukar difahami akan menyebabkan pembaca dan penonton bosan dan akhirnya hilang tumpuan. Gaya bahasa yang baik dalam sesebuah drama akan memberikan latar zaman, masyarakat dan tempat. Justeru itu, dialek sesuatu daerah boleh digunakan oleh sesuatu watak untuk menghidupkan lagi perwatakannya, tetapi pastikan yang pembaca dan penonton dapat memahami dialek tersebut. Kekuatan sesuatu watak itu terpancar daripada kualiti dialog yang diucapkannya. Watak yang gagal mengucapkan dialog kuat, humor dan menarik akan sukar menarik perhatian penonton. Oleh itu,  pemilihan diksi, ayat atau unsur bahasa penting dalam mengekalkan keinginan pembaca dan penonton sesebuah drama.
Ekonomi, emosi dan keseimbangan
Secara keseluruhannya struktur sesebuah drama bergantung kepada keseimbangan dalam semua elemen. Setiap suatu elemen tersebut mestilah memberikan sumbangan dalam membentuk corak dan pola sesebuah drama itu. Setiap suatu elemen itu sentiasa berkaitan dan bergantungan antara satu sama lain. Satu aspek yang mesti juga diberi perhatian oleh penulis skrip ialah faktor ekenomi. Hai ini demikian  kerana drama ialah satu bentuk komunikasi yang  elemen masa memainkan peranan yang penting. Oleh itu,  faktor masa perlu diberikan perhatian. Selain itu, drama juga merangkumi aspek emosi. Hai ini demikian  kerana sesebuah drama itu dihasilkan untuk manusia dan emosi memainkan peranan penting dalam soal komunikasi kemanusiaan.
Jenis-jenis drama
Pada umumnya terdapat tiga jenis drama yang utama, iaitu:
  • Tragedi – sebuah drama yang mengisahkan suka duka dan tragisnya kehidupan wira utamanya. Kisah wira ini selalunya berakhir dengan tragedi. Dalam drama ini perjalanan kisahnya menemui tragedi itulah yang utama.
  • Komedi – Drama ini memaparkan kisahnya dalam bentuk lucu dan menghiburkan. Ceritanya serius,  tetapi disampaikan dalam bentuk kelucuan oleh watak-wataknya. Drama ini selalunya digunakan untuk menyindir masyarakat. Plot drama komedi boleh berakhir dengan kepuasan penonton (kegembiraan) dan boleh juga berakhir dengan kedukaan .Drama begini dikenali juga sebagai tragik-komedi.
  • Melodrama – Drama ini bersifat sentimental dan ceritanya sering berpusat pada persoalan keluarga atau wanita. Drama ini selalunya akan menyentuh emosi pembaca atau penonton.
Format Skrip Drama Pentas
Skrip drama pentas mempunyai formatnya yang sendiri. Anda wajar mengikut format yang standard apabila menulis skrip supaya ia mudah dibaca, difahami oleh pengarah drama dan yang penting ia menunjukkan yang anda memahami genre sastera yang anda tulis. Dalam format penulisan skrip, anda perlu memuatkan perkara-perkara yang  berikut:
  • Muka surat judul yang mempunyai judul drama anda, nama penulis (nama anda), judul sumber asal (novel) jika skrip drama itu karya adaptasi, nama dan tempat terbit (jika diterbitkan) dan tahun.
  • Sinopsis. Anda perlu juga menulis sinopsis atau ringkasan drama anda (kira-kira 150 patah perkataan). Sinopsis ini perlu memberikan maklumat tentang watak, tema dan perjalanan cerita dan yang penting mampu menarik minat pembaca untuk membaca seterusnya skrip drama anda.
  • Watak dan senarai watak – Anda perlu memberikan senarai watak yang terlibat dalam drama anda serta deskripsi ringkas tentang perwatakannya seperti bentuk fizikal, usia dan sifat-sifat tertentu watak itu.
  • Pecahan babak juga perlu.
  • Adegan atau babak sesebuah drama berlaku dalam satu ruang tempat, masa dan watak. Oleh itu,  ruang tempat, masa dan watak perlu juga diberitahu sebelum sesuatu adegan itu bermula.
  • Format atau stail menaip skrip terdapat beberapa bentuk. Lihatlah bentuknya daripada beberapa skrip yang pernah anda baca.
    Di sini saya sertakan satu contoh bagaimana sebuah skrip drama pentas ditulis, petikan babak 12 drama “Patah Sayap Terbang Jua” tulisan Othman Haji Zainuddin yang diadaptasi daripada novel Patah Sayap Terbang Jua karya A. Samad Ismail.
12. DERETAN KEDAI/ SINGAPURA/MALAM
Wahab masuk ke kawasan itu. Seketika dia berdiri di jalanan yang diterangi oleh lampu elektrik yang muram. Kelihatan Inah mengekorinya. Seketika dia memerhatikan kelakuan wahab. Dari jauh kedengaran muzik mengalun dari antara beberapa buah rumah yang masih diterangi oleh lampu. Wahab bersiul-siul kecil dan mendendangkan lagu keroncong “Kemayuran”.
WAHAB (Menyanyi)

     Kiri jalan, kanan pun jalan
     Nona manis endung disayang
     Lateralala lala lala….
     Di tengah-tengah pohon mengkudu
     Kirim jangan
     Pesan pun jangan
     Sama-sama
     Menanggung rindu.

Ketika ini Inah ikut sama menyanyi
     INAH & WAHAB
     Kirim jangan
     Pesan pun jangan
     Sama-sama
     Menanggung rindu…

Inah tepuk tangan. Wahab terkejut Inah di sisinya.
INAH
:  Ada apa Hab, kau nak jumpa aku?
WAHAB
:  Banyak perkara.
INAH 
:  Apa yang boleh kutolong?
WAHAB
:  Kau tolong aku seperti kau tolong Hashimoto
INAH
:  Tolong Hashimoto?
Penutup
Setelah anda membaca tulisan ini, diharapkan anda mendapat sedikit pengetahuan tentang kaedah-kaedah penulisan skrip drama pentas. Ia mungkin belum cukup untuk menjadikan anda penulis skrip yang baik kerana penulis skrip drama pentas yang baik menuntut kerja-kerja pemerhatian masyarakat , banyak membaca naskhah skrip drama yang baik dan perlu juga banyak menonton teater. Bagaimanapun ia sudah cukup untuk menggerakkan anda memulakan suatu penulisan skrip.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar